Kisah Rasulullah Sebagai Pengajaran
1)
Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa
perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk
keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
2) Setiap kali pulang
ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk
dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk
membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi
berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga..
3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.
4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat
lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.
Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar.
Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah
panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang
kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada
apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku
puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah
baginda.
5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat
seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa
engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar,
'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil
juga, jadi aku pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut
Nabi s. a. w. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan
ibu kepada anak-anakmu?
6) Pernah baginda bersabda,
'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut
terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam
menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.
7) Pada suatu ketika
baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda
antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka
mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda
yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak
tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai
bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung
penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya
Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa
setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi
bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar
penuh cemas....
Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para
sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti
sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar
baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus
setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
Ya Rasulullah! Adakah
bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan
mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak
para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu.
Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai
pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai
hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'
8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.
9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar
oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan
penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di
dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
10)
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang
sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke
tuanan.
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung
tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di
depan ramai mahupun dalam keseorangan.
12) Pintu Syurga telah
terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di
waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah
baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.
13)
Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang
tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah
engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?
Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah
seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'
No comments:
Post a Comment